Syarat-syarat ingin membuat MAKSIAT
19 September 2008Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba
Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong
berikan aku nasihat." Setelah mendengar
perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu
mahu menerima lima syarat dan mampu
melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan
maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar
bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba
Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika
kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan
rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan
kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu
makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini
rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin
Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih
mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu
selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu
bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini
membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim
kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah,
fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-
Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu
melanggar segala larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian
menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim
menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat,
carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat
terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat
dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam
mana? Mana mungkin Allah tidak melihat
kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah
kamu m asih berkeinginan melakukan maksiat?"
kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta
syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang
hendak mencabut rohmu, katakanlah
kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku
masih mahu bertaubat dan melakukan amal
soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala
dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana
mungkin malaikat maut akan memenuhi
permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini
bahawa kamu tidak boleh menunda dan
mengundurkan datangnya kematianmu, lalu
bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan
Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun
menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat
Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api
neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut
bersamanya."
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia
berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat
itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."
Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim.
Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut
bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-
isak.
Komunikasi Berkesan Dengan Anak-anak
01 August 2008Apakah komunikasi?
Komunikasi adalah perhubungan diantara dua individu ke arah mencapai sesuatu objektif atau matlamat. Malangnya, dalam mendidik anak-anak ibu bapa jarang menilai sama ada komunikasi antara mereka dengan anak-anak berkesan atau pun sebaliknya. Hasil kajian mendapati ibu bapa hanya berkomunikasi 5 - 10 minit sahaja dengan anak-anak. Fakta ini pasti mengejutkan banyak pihak. Cuba fikirkan, bila masanya kali terakhir anda berkomunikasi secara berkesan dengan anak-anak. Komunikasi berkesan merujuk kepada perhubungan dua hala antara ibu bapa dan anak-anak. Perhubungan ini pula perlu wujud dalam keadaan mesra dan tanpa sebarang halangan mental (mental block).
Kita hanya boleh memperbaiki keadaan keluarga dan kehidupan anak-anak hanya setelah kita berani mengakui kesilapan kita dan menerima kelemahan kita. Oleh itu marilah kita sama-sama lihat bagaimana kita mampu tingkatkan komunikasi dengan anak-anak.
Ibu bapa ada ketikanya diktator.
Kerap kali faktor ini berlaku ketika membimbing anak-anak. Percakapan yang wujud antara ibu bapa dan anak-anak lebih berbentuk larangan, perbandingan, sindiran dan arahan. Kalaulah ini cara kita mendidik anak-anak maka wajarlah sekiranya kita dianggap sebagai seorang yang memimpin keluarga secara autokratik. Cuba ingatkan semula perkataan-perkataan yang diucapkan terhadap anak-anak setiap hari
• Ali balik sekolah nanti buat kerja rumah (arahan).
• Jangan lupa tolong angkat kain lepas ini (arahan).
• Mak tak nak tengok kamu bergayut kat telefon lama-lama macam semalam (larangan).
• Itulah kau bila belajar jer malas, tengok si mamat tu tak payah disuruh (membandingkan).
• Hmm... daripada bagi kat Ali baik kasi kat kucing. Bukan dia hargai pun. (Sindiran).
Inikah komunikasi yang ada antara ibu bapa dengan anak-anak? Kalau inilah yang di fahami sebagai komunikasi, maka ibu bapa sedang menyediakan anak-anak yang bakal punya masalah dihari muka.
Komunikasi sebegini tidak menimbulkan kemesraan tetapi sebaliknya wujud ketegangan antara ibu bapa dengan anak-anak. Anak-anak akan rasa kecil hati, rendah diri dan memberontak jiwanya. Sebab itulah ramai anak-anak yang merasakan dirinya cukup merdeka apabila berjauhan dengan ibu bapa. Mereka rasa boleh lakukan apa sahaja tanpa sebarang kekangan. Kalau mereka tidak dapat membezakan antara baik dan buruk, mereka mula terpengaruh dan terlibat dengan pelbagai gejala negatif.
Fahami mereka dan baru mereka memahami kita
Inilah yang sepatutnya dilakukan. Letakkan diri kita di tempat mereka. Selami perasaan mereka. Cari jalan untuk menasihati anak-anak seperti mana kawan-kawan mereka menasihati mereka. Elakkan dari terbentuknya halangan mental antara kita dan anak. Jangan sesekali mengkritik mereka secara melulu. Sebut kebaikan dan kelebihan anak terlebih dahulu. Wujudkan kemesraan dan biar anak rasa selesa untuk menerima teguran. Setelah terbentuknya jambatan perasaan barulah kita nyatakan apa kesilapan mereka dan buka minda mereka akan akibat-akibat buruk yang mungkin menimpa sekiranya mereka tidak lakukan perubahan.
Jangan sesekali mengharapkan perubahan yang mendadak atau serta-merta, sebab perubahan sebegini biasanya tidak bertahan lama. Kesabaran adalah kunci dalam menjadi ibu bapa cemerlang.
Ceritakan kisah-kisah silam kita kepada mereka agar mereka tahu bagaimana kita menghadapi sesuatu situasi yang memerlukan ketabahan dan kecekalan.
Halangan mental ketika berkomunikasi dengan anak-anak terbentuk atas sebab-sebab seperti:
- kritikan
- Tidak menjadi pendengar yang baik
- Tertumpu hanya kepada agenda sendiri
- Cercaan atau hinaan
- Memalukan anak
- Membanding-bandingkan
- Merendahkan kebolehan anak
- Memarahi mereka setelah mereka berterus-terang atau mengakui kesilapan.
- Tidak menghentikan kerja ketika anak bertanya
- Tidak mewujudkan kemesraan.
Wujudkan Kemesraan
Cuba puji kebaikan dan kelebihan anak sebelum menegurnya. Misalnya, “Safwan, mama tahu Safwan seorang yang mudah mendengar nasihat, sekarang mak nak nasihatkan Safwan satu perkara boleh ker?”. Apabila kemesraan diwujudkan maka anak rasa tiada tekanan untuk ditegur dan dinasihat. Mereka juga dapat rasakan bahawa ibu bapa menegur bukan kerana orangnya tetapi kerana sikap dan tingkahlakunya.
Adalah penting, ketika menegur dan berbincang, ibu bapa duduk sama aras dengan anak. Untuk anak kecil, duduklah atau melututlah agar kedudukan mata kita sama aras dengan anak. Cara ini adalah lebih mesra. Juga, lihat tepat ke dalam mata anak sebagai tanda keikhlasan kita dalam menasihati mereka.
Gunakan Sentuhan
Gunakanlah sentuhan ketika menasihati, memujuk dan menegur anak. Sentuhan ini akan membuktikan yang kita sayang dan mengambil berat tentang perasaan mereka. Gosok belakangnya ketika memujuk. Pegang dan genggam tangannya ketika kita menanamkan keyakinan diri kepada mereka atau ketika kita menegaskan bagaimana kita sentiasa berada di sisi untuk mereka dapatkan bantuan. Pegang bahu atau peha mereka ketika berbincang. Usap kepalanya ketika menasihati. Pendek kata, sentuhan mestilah seiring dengan mesej yang mahu dusampaikan. Gunakan seni sentuhan ini dengan bijak kelak anak akan menghargai dan menghormati kita.
Gunakan Pelbagai Pendekatan
Ada ketikanya mesej yang mahu disampaikan kepada anak kurang berkesan melalui percakapan langsung. Kenapa tidak gunakan pendekatan lain seperti memo, surat, kad-kad ucapan, SMS, e-mel dan sebagainya. Ibu bapa akan terkejut bagaimana sikap anak ada ketikanya mudah dibentuk melalui tulisan berbanding percakapan. Ini disebabkan apabila mereka dengar mereka akan cepat lupa. Sebaliknya dengan membaca tulisan, mereka akan melihat tulisan tersebut dan akan menyimpannya untuk tempoh masa yang panjang. Mereka juga mungkin akan melihat apa yang ditulis itu berulangkali sehingga tertanam dalam fikiran bawah sedar seterusnya menghasilkan reaksi spontan yang lebih positif seiring dengan mesej yang telah diberikan.
Gunakan Orang Ketiga
Ibu bapa juga boleh gunakan orang lain untuk sampaikan sesuatu mesej. Misalnya, bapa saudara sampaikan kepada anak, “Pak Su dengar Mama cukup memuji perubahan sikap Safwan sekarang ni. Mama kata Safwan sekarang cukup bertanggung jawab dan berdisiplin sejak masuk sekolah menengah. Kalau begitu baguslah, Pak Su tumpang berbangga”. Ucapan seperti ini akan memperkuatkan lagi azam seorang anak untuk terus berubah ke arah kebaikan.
Sampaikan Mesej Melalui Cerita
Semua orang sukakan cerita lebih-lebih lagi anak-anak. Orang kita dahulu tinggi akhlak dan kesopanannya kerana orang tua mereka rajin bercerita. Dahulu mana ada TV, permainan komputer, internet dan sebagainya seperti hari ini. Oleh itu salah satu hiburan yang ada ialah cerita-cerita. Cerita-cerita yang disampaikan pula banyak mengandungi unsur tauladan yang membentuk pemikiran, peribadi dan akhlak diri. Malah orang barat juga cukup suka membaca buku-buku cerita kepada anak-anak mereka untuk menidurkan mereka. Cerita-cerita yang berunsur nasihat sebegini mempertingkatkan EQ anak-anak.
Oleh itu, usahakan untuk sampaikan mesej secara bercerita. Bawakan kepada anak-anak kisah-kisah Nabi, cerita rakyat, cerita kegemaran mereka dan sebagainya. Malah ibu bapa boleh ceritakan juga pengalaman dan kisah silam mereka untuk ditauladani oleh anak-anak.
dari www.brothersinislam.net
6 Cara Baru Baharui Motivasi
02 July 20081. Bersahabat dengan orang yang bermotivasi tinggi atau orang yang sudah berjaya. Seseorang yang hendak berjaya dalam bidang kewartawanan contohnya hendaklah mencari orang yang telah berjaya dalam bidang ini. Pensyarah muda yang ingin jadi ahli akademik yang berjaya, hendaklah bersahabat dengan pensyarah yang sudah kanan. Selain itu, banyakkan berkomunikasi dengan orang yang bermotivasi tinggi.
2. Mempunyai seorang "role model" yang boleh dijadikan seumpama idola. Bagi seorang adik umpamanya, mungkin dia boleh jadikan abang atau kakaknya sebagai idola. Dalam masyarakat atau organisasi umpamanya, pemimpin atau ketua akan jadi contoh pada anak-anak buahnya.
3. Sering mengingati azam itu. Jika setiap tahun, kita memperbaharui cukai jalan(kereta), maka begitulah kita mengingati diri sendiri mengenai azam.
4. Anda memerlukan seseorang untuk mengingati anda. Berpesanlah pada kawan-kawan yang baik dan boleh dipercayai, yang boleh beri teguran sekiranya tersasar daripada landasan yang lurus. Ibu bapa mungkin tidak berdaya menegur atau barangkali mereka berada jauh daripada kita. Jadi kita memerlukan kawan-kawan kerana merekalah yang akan menjadi cermin bagi kita.
5. Motivasi yang terbaik adalah dengan cara muhasabah diri sendiri. Contohnya, "aku hendak berjaya, hendak kerja kuat, tanpa putus asa." Untuk mencapai, jangan sesekali kecewa.
6. Sentiasa mencatat dalam diari. Lakukan senarai kerja yang mahu dilakukan esok. Lakukan perancangan dalam jangka masa panjang, sasaran dan pelan tindakan, kerana cara ini akan menjadi motivasi untuk mencapainya.
Bergurau cara Rasulullah
02 June 2008Dikisahkan dalam sebuah riwayat, ada seorang laki-laki meminta pada Rasulullah agar Rasulullah membawanya di atas kenderaan. Kemudian, Rasulullah berkata, "Aku akan membantumu di atas anak unta."
Orang tersebut menjadi hairan kerana ia hanya melihat seekor unta dewasa, bukan anak unta. Kemudian, Rasulullah berkata, "Bukankah yang melahirkan anak unta itu seekor unta juga?" (HR Abu Dawud dan Tirmidzi).
Bergurau atau berkelakar adalah perencah dalam berkomunikasi yang biasa kita lakukan dalam pergaulan sehari-hari. Sebagai tanda persahabatan, hal tersebut sudah menjadi lumrah dalam percakapan seseorang. Disamping dapat menghibur, menjadikan suasana semakin akrab, menghilangkan rasa bosan, dan meredakan amarah, kerana di dalam berkelakar muncul benih persahabatan dan persaudaraan.
Pernah suatu ketika Sufyan bin Uyainah ditanya apakah bergurau itu termasuk perbuatan tercela? Ia menjawab tidak, "Bahkan, termasuk sunah bagi yang dapat melakukannya sesuai dengan tuntutannya."
Dalam Al-Quran, surah Annajm [53] ayat 43, dijelaskan bahawasanya tertawa dan menangis adalah fitrah yang Allah SWT anugerahkan pada manusia. Rasulullah s.a.w pun menyebut bahawa melakukan perbuatan yang menyenangkan orang lain boleh dikategorikan sebagai kebajikan, "Senyummu untuk saudaramu adalah kebajikan (sedekah)." (HR Imam Ahmad).
Untuk mewujudkan suasana kelakar hendaknya seseorang menjauhi perbuatan yang tidak terpuji, antaranya mengungkapnya perkataan kotor, dusta, berolok-olok, dan merendah-rendahkan orang lain hanya demi menjadikan suasana kelakar dan orang lain tertawa. Nabi s.a.w. bersabda, "Celakalah orang yang bercakap lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa." (HR Abu Dawud).
Selain perbuatan tersebut mengandungi cela dan dosa, Rasulullah sendiri tidak pernah berkelakar dengan para sahabat, kecuali di dalamnya mengandungi kebenaran dan fakta. Hal tersebut kita temui dalam hadis Abu Hurairah r.a bahawa para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah bergurau dengan kami." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Sesungguhnya tidaklah aku berbicara, kecuali yang benar." (HR Tirmizi).
Selain hadis di atas, ada satu contoh kelakar Rasulullah yang sangat terkenal, iaitu ketika Rasulullah s.a.w. didatangi oleh seorang orang tua (nenek tua) yang bertanya, "Apakah kelak saya boleh masuk syurga?" Nabi pun menjawab, "Tidak akan ada orang tua di dalam syurga."
Mendengar jawapan itu, spontan nenek tersebut menangis. Lalu Rasulullah berkata kepadanya bahawa kelak tidak ada orang tua kerana semua ahli syurga akan kembali belia. Demikianlah bergurau ala Rasulullah....penuh dengan didikan.
