Bergurau cara Rasulullah

02 June 2008

Dikisahkan dalam sebuah riwayat, ada seorang laki-laki meminta pada Rasulullah agar Rasulullah membawanya di atas kenderaan. Kemudian, Rasulullah berkata, "Aku akan membantumu di atas anak unta."

Orang tersebut menjadi hairan kerana ia hanya melihat seekor unta dewasa, bukan anak unta. Kemudian, Rasulullah berkata, "Bukankah yang melahirkan anak unta itu seekor unta juga?" (HR Abu Dawud dan Tirmidzi).

Bergurau atau berkelakar adalah perencah dalam berkomunikasi yang biasa kita lakukan dalam pergaulan sehari-hari. Sebagai tanda persahabatan, hal tersebut sudah menjadi lumrah dalam percakapan seseorang. Disamping dapat
menghibur, menjadikan suasana semakin akrab, menghilangkan rasa bosan, dan meredakan amarah, kerana di dalam berkelakar muncul benih persahabatan dan persaudaraan.

Pernah suatu ketika Sufyan bin Uyainah ditanya apakah bergurau itu termasuk perbuatan tercela? Ia menjawab tidak, "Bahkan, termasuk sunah bagi yang dapat melakukannya sesuai dengan tuntutannya."

Dalam Al-Quran, surah Annajm [53] ayat 43, dijelaskan bahawasanya tertawa dan menangis adalah fitrah yang Allah SWT anugerahkan pada manusia. Rasulullah s.a.w pun menyebut bahawa melakukan perbuatan yang menyenangkan orang lain boleh dikategorikan sebagai kebajikan, "Senyummu untuk saudaramu adalah kebajikan (sedekah)." (HR Imam Ahmad).

Untuk mewujudkan suasana kelakar hendaknya seseorang menjauhi perbuatan yang tidak terpuji, antaranya mengungkapnya perkataan kotor, dusta, berolok-olok, dan merendah-rendahkan orang lain hanya demi menjadikan suasana kelakar dan orang lain tertawa. Nabi s.a.w. bersabda, "Celakalah orang yang bercakap lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa." (HR Abu Dawud).

Selain perbuatan tersebut mengandungi cela dan dosa, Rasulullah sendiri tidak pernah berkelakar dengan para sahabat, kecuali di dalamnya mengandungi kebenaran dan fakta. Hal tersebut kita temui dalam hadis Abu Hurairah r.a bahawa para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah bergurau dengan kami." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Sesungguhnya tidaklah aku berbicara, kecuali yang benar." (HR Tirmizi).

Selain hadis di atas, ada satu contoh kelakar Rasulullah yang sangat terkenal, iaitu ketika Rasulullah s.a.w. didatangi oleh seorang orang tua (nenek tua) yang bertanya, "Apakah kelak saya boleh masuk syurga?" Nabi pun menjawab, "Tidak akan ada orang tua di dalam syurga."

Mendengar jawapan itu, spontan nenek tersebut menangis. Lalu Rasulullah berkata kepadanya bahawa kelak tidak ada orang tua kerana semua ahli syurga akan kembali belia. Demikianlah bergurau ala Rasulullah....penuh dengan didikan.


Species:

1 comments:

Unknown said...

wah gurauan rasul emang begitu mendidik, tidak seperti gurauan manusia jaman sekarang, wahh subhanaullah....