Komunikasi Berkesan Dengan Anak-anak

01 August 2008

Apakah komunikasi?

Komunikasi adalah perhubungan diantara dua individu ke arah mencapai sesuatu objektif atau matlamat. Malangnya, dalam mendidik anak-anak ibu bapa jarang menilai sama ada komunikasi antara mereka dengan anak-anak berkesan atau pun sebaliknya. Hasil kajian mendapati ibu bapa hanya berkomunikasi 5 - 10 minit sahaja dengan anak-anak. Fakta ini pasti mengejutkan banyak pihak. Cuba fikirkan, bila masanya kali terakhir anda berkomunikasi secara berkesan dengan anak-anak. Komunikasi berkesan merujuk kepada perhubungan dua hala antara ibu bapa dan anak-anak. Perhubungan ini pula perlu wujud dalam keadaan mesra dan tanpa sebarang halangan mental (mental block).

Kita hanya boleh memperbaiki keadaan keluarga dan kehidupan anak-anak hanya setelah kita berani mengakui kesilapan kita dan menerima kelemahan kita. Oleh itu marilah kita sama-sama lihat bagaimana kita mampu tingkatkan komunikasi dengan anak-anak.

Ibu bapa ada ketikanya diktator.

Kerap kali faktor ini berlaku ketika membimbing anak-anak. Percakapan yang wujud antara ibu bapa dan anak-anak lebih berbentuk larangan, perbandingan, sindiran dan arahan. Kalaulah ini cara kita mendidik anak-anak maka wajarlah sekiranya kita dianggap sebagai seorang yang memimpin keluarga secara autokratik. Cuba ingatkan semula perkataan-perkataan yang diucapkan terhadap anak-anak setiap hari

• Ali balik sekolah nanti buat kerja rumah (arahan).
• Jangan lupa tolong angkat kain lepas ini (arahan).
• Mak tak nak tengok kamu bergayut kat telefon lama-lama macam semalam (larangan).
• Itulah kau bila belajar jer malas, tengok si mamat tu tak payah disuruh (membandingkan).
• Hmm... daripada bagi kat Ali baik kasi kat kucing. Bukan dia hargai pun. (Sindiran).

Inikah komunikasi yang ada antara ibu bapa dengan anak-anak? Kalau inilah yang di fahami sebagai komunikasi, maka ibu bapa sedang menyediakan anak-anak yang bakal punya masalah dihari muka.

Komunikasi sebegini tidak menimbulkan kemesraan tetapi sebaliknya wujud ketegangan antara ibu bapa dengan anak-anak. Anak-anak akan rasa kecil hati, rendah diri dan memberontak jiwanya. Sebab itulah ramai anak-anak yang merasakan dirinya cukup merdeka apabila berjauhan dengan ibu bapa. Mereka rasa boleh lakukan apa sahaja tanpa sebarang kekangan. Kalau mereka tidak dapat membezakan antara baik dan buruk, mereka mula terpengaruh dan terlibat dengan pelbagai gejala negatif.

Fahami mereka dan baru mereka memahami kita

Inilah yang sepatutnya dilakukan. Letakkan diri kita di tempat mereka. Selami perasaan mereka. Cari jalan untuk menasihati anak-anak seperti mana kawan-kawan mereka menasihati mereka. Elakkan dari terbentuknya halangan mental antara kita dan anak. Jangan sesekali mengkritik mereka secara melulu. Sebut kebaikan dan kelebihan anak terlebih dahulu. Wujudkan kemesraan dan biar anak rasa selesa untuk menerima teguran. Setelah terbentuknya jambatan perasaan barulah kita nyatakan apa kesilapan mereka dan buka minda mereka akan akibat-akibat buruk yang mungkin menimpa sekiranya mereka tidak lakukan perubahan.

Jangan sesekali mengharapkan perubahan yang mendadak atau serta-merta, sebab perubahan sebegini biasanya tidak bertahan lama. Kesabaran adalah kunci dalam menjadi ibu bapa cemerlang.
Ceritakan kisah-kisah silam kita kepada mereka agar mereka tahu bagaimana kita menghadapi sesuatu situasi yang memerlukan ketabahan dan kecekalan.

Halangan mental ketika berkomunikasi dengan anak-anak terbentuk atas sebab-sebab seperti:
- kritikan
- Tidak menjadi pendengar yang baik
- Tertumpu hanya kepada agenda sendiri
- Cercaan atau hinaan
- Memalukan anak
- Membanding-bandingkan
- Merendahkan kebolehan anak
- Memarahi mereka setelah mereka berterus-terang atau mengakui kesilapan.
- Tidak menghentikan kerja ketika anak bertanya
- Tidak mewujudkan kemesraan.

Wujudkan Kemesraan

Cuba puji kebaikan dan kelebihan anak sebelum menegurnya. Misalnya, “Safwan, mama tahu Safwan seorang yang mudah mendengar nasihat, sekarang mak nak nasihatkan Safwan satu perkara boleh ker?”. Apabila kemesraan diwujudkan maka anak rasa tiada tekanan untuk ditegur dan dinasihat. Mereka juga dapat rasakan bahawa ibu bapa menegur bukan kerana orangnya tetapi kerana sikap dan tingkahlakunya.
Adalah penting, ketika menegur dan berbincang, ibu bapa duduk sama aras dengan anak. Untuk anak kecil, duduklah atau melututlah agar kedudukan mata kita sama aras dengan anak. Cara ini adalah lebih mesra. Juga, lihat tepat ke dalam mata anak sebagai tanda keikhlasan kita dalam menasihati mereka.

Gunakan Sentuhan

Gunakanlah sentuhan ketika menasihati, memujuk dan menegur anak. Sentuhan ini akan membuktikan yang kita sayang dan mengambil berat tentang perasaan mereka. Gosok belakangnya ketika memujuk. Pegang dan genggam tangannya ketika kita menanamkan keyakinan diri kepada mereka atau ketika kita menegaskan bagaimana kita sentiasa berada di sisi untuk mereka dapatkan bantuan. Pegang bahu atau peha mereka ketika berbincang. Usap kepalanya ketika menasihati. Pendek kata, sentuhan mestilah seiring dengan mesej yang mahu dusampaikan. Gunakan seni sentuhan ini dengan bijak kelak anak akan menghargai dan menghormati kita.

Gunakan Pelbagai Pendekatan

Ada ketikanya mesej yang mahu disampaikan kepada anak kurang berkesan melalui percakapan langsung. Kenapa tidak gunakan pendekatan lain seperti memo, surat, kad-kad ucapan, SMS, e-mel dan sebagainya. Ibu bapa akan terkejut bagaimana sikap anak ada ketikanya mudah dibentuk melalui tulisan berbanding percakapan. Ini disebabkan apabila mereka dengar mereka akan cepat lupa. Sebaliknya dengan membaca tulisan, mereka akan melihat tulisan tersebut dan akan menyimpannya untuk tempoh masa yang panjang. Mereka juga mungkin akan melihat apa yang ditulis itu berulangkali sehingga tertanam dalam fikiran bawah sedar seterusnya menghasilkan reaksi spontan yang lebih positif seiring dengan mesej yang telah diberikan.

Gunakan Orang Ketiga

Ibu bapa juga boleh gunakan orang lain untuk sampaikan sesuatu mesej. Misalnya, bapa saudara sampaikan kepada anak, “Pak Su dengar Mama cukup memuji perubahan sikap Safwan sekarang ni. Mama kata Safwan sekarang cukup bertanggung jawab dan berdisiplin sejak masuk sekolah menengah. Kalau begitu baguslah, Pak Su tumpang berbangga”. Ucapan seperti ini akan memperkuatkan lagi azam seorang anak untuk terus berubah ke arah kebaikan.

Sampaikan Mesej Melalui Cerita

Semua orang sukakan cerita lebih-lebih lagi anak-anak. Orang kita dahulu tinggi akhlak dan kesopanannya kerana orang tua mereka rajin bercerita. Dahulu mana ada TV, permainan komputer, internet dan sebagainya seperti hari ini. Oleh itu salah satu hiburan yang ada ialah cerita-cerita. Cerita-cerita yang disampaikan pula banyak mengandungi unsur tauladan yang membentuk pemikiran, peribadi dan akhlak diri. Malah orang barat juga cukup suka membaca buku-buku cerita kepada anak-anak mereka untuk menidurkan mereka. Cerita-cerita yang berunsur nasihat sebegini mempertingkatkan EQ anak-anak.
Oleh itu, usahakan untuk sampaikan mesej secara bercerita. Bawakan kepada anak-anak kisah-kisah Nabi, cerita rakyat, cerita kegemaran mereka dan sebagainya. Malah ibu bapa boleh ceritakan juga pengalaman dan kisah silam mereka untuk ditauladani oleh anak-anak.

dari www.brothersinislam.net

1 comments:

Jolynn said...

Sometimes parents forget that they were once children and teenagers...