Di Sebalik Ancaman Islam Liberal
23 May 2008Satu ciri yang tidak asing sesama umat Islam adalah sikap “ringan mulut” dan “murah hati” dalam menuduh dan melabel sesama kita. Label: “Si anu Ikhwan (Ikhwan al-Muslimin)”, “si fulan Wahabi”, “mereka tareqat”, “dia tu dulu orang Arqam” dan pelbagai lagi adalah satu kebiasaan. Bahkan ia menjadi satu kelaziman bagi orang yang kononnya “lebih sikit” agamanya. Ya! Semakin beragama seseorang itu, semakin dia merasa dirinya layak untuk melabel sesama umat Islam.
Dengan terbongkarnya aliran “Islam Liberal”, golongan yang suka melabel mendapat satu lagi peluru berpandu yang dapat dilancarkan kepada sesama umat Islam. Apa sahaja yang kelihatan terbuka pada ukurannya, itulah Islam Liberal. Padahal ukuran terbuka dan tertutup itu sendiri amat relatif, bergantung kepada kadar ilmu dan kesahihan ilmu tersebut dalam diri masing-masing.
Saya kerap mendengar tuduhan Islam Liberal dilancarkan ke sana sini, termasuk kepada diri saya sendiri. Apabila saya bertanya: “Apa tu Islam Liberal?” Mereka menjawab dengan agak terperanjat: “Ehh! Takkan kamu tak tahu!” Saya membalas: “Istilah Islam Liberal biasa saya dengar, tetapi apa dan bagaimana Islam Liberal, itulah yang saya ingin tahu.” Di sini mereka lazimnya terdiam beberapa saat, kemudian menjawab: “Yalah! Saya pun dengar-dengar sahaja orang sebut Islam Liberal. Apa dan bagaimana saya pun tak berapa pasti. Kamu tahu ke?”
Jawapan di atas tidak terhad kepada label Islam Liberal. Cuba tanya kepada orang-orang yang lazim melabel sesama umat Islam sebagai Ikhwan al-Muslimin, Haraki, Wahabi, Tabligh, Tareqat, pasti mereka tidak akan mampu memberi jawapan yang terperinci berkenaan apa dan bagaimana ciri-ciri yang ada di sebalik label tersebut.
Di sini saya bukan ingin membenarkan aliran Islam Liberal atau menegah para pembaca daripada bersikap prihatin kepada Islam Liberal. Yang ingin saya betulkan adalah sikap mudah melabel seseorang dengan Islam Liberal mahupun dengan apa-apa label yang lain. Sikap melabel sesama muslim dengan tujuan memburuk-burukkan mereka tanpa bukti atau hujah adalah sikap yang dilarang oleh Islam. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;
Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [al-Hujurat 49:11]
Justeru jangan mudah melabel sesama umat Islam melainkan kita sendiri mengetahui secara pasti apa yang dimaksudkan oleh label tersebut. Pengetahuan tersebut hendaklah berdasarkan dalil dan hujah, bukan sangkaan dan prejudis. Jangan melabel semata-mata kerana pendapat atau amalan seseorang itu berbeza dengan apa yang kita tahu dan amalkan. Kerana mungkin sahaja, yang dilabel itu lebih baik dan lebih benar dari diri kita sendiri. [Lebih lanjut tentang sebab kelahiran, apa dan bagaimana Islam Liberal, sila rujuk artikel saya Membongkar Aliran Islam Liberal dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah, Buku 1 (Jahabersa, Johor Bahru, 2004)].
Selain itu perlu dipertimbangkan sama ada sikap melabel itu bermanfaat atau tidak. Jika seseorang itu benar-benar salah berdasarkan ukuran dalil dan hujah, maka prioriti yang pertama bukan melabelnya secara negatif, tetapi mengajaknya untuk berdialog atas tujuan saling menasihat dan menegur. Ingat! Kewajipan kita ialah saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran, bukan melabel kepada kefasikan dan kerosakan:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” [Maksud surah al-Asr 103: 1-3]
JANGAN KERANA ISLAM LIBERAL, KITA MENJADI ISLAM MEGA LITERAL.
Lawan kepada Islam Liberal adalah Islam Literal. Iaitu Islam yang dihayati secara jumud, beku, sempit, memberatkan, menakutkan dan membelenggu. Di sini ingin saya tarik perhatian para pembaca kepada dua perkara penting:
Pertama, antara sebab lahirnya Islam Liberal ialah sebagai satu tindakbalas meronta keluar daripada Islam yang biasa diajar kepada kita sejak kecil, iaitu Islam yang serba jumud, beku, sempit, kejam, memberatkan, menakutkan dan membelenggu. Oleh itu dalam keprihatinan kita kepada aliran Islam Liberal masa kini, kita juga perlu prihatin kepada sebab yang menghantar kepada lahirnya aliran tersebut, iaitu Islam Literal. Dalam susun kata yang lain, dalam rangka kita membetulkan aliran Islam Liberal, kita juga hendaklah membetulkan aliran Islam Literal.
Kedua, setiap kali muncul pemikiran yang ekstrim ke satu sudut, akan muncul tindakbalas yang melahirkan pemikiran yang ekstrim ke sudut lain yang menentangnya. Demikian juga dalam kes aliran Islam Liberal, ia adalah satu pemikiran ekstrim yang menelanjangkan Islam. Namun dibimbangi akan muncul pula tindakbalas pemikiran ekstrim lain yang akan membungkus Islam sebagaimana konkrit membungkus besi dalam projek-projek pembinaan. Pemikiran ini akan bersifat lebih literal (baca: Mega Literal) daripada Islam Literal yang pada asalnya mengarah kepada kelahiran Islam Liberal.
Berdasarkan dua poin di atas, hendaklah kita meletakkan diri di pertengahan antara Islam Liberal dan Islam Literal. Mudah cerita, hendaklah kita berpegang kepada Islam yang tulen: Islam Original. Iaitu Islam yang serba mudah, lapang, toleran, dinamik, indah, penyayang, pemaaf, dan menggembirakan. Tentu sahaja semua ini memerlukan ilmu yang sahih dan pemikiran yang cemerlang, yang tidak dicemari dengan unsur liberal mahupun literal.
2 comments:
- Anonymous said...
-
huhu..sediynye..mata ana sakit..
artikel yang menarik tapi sayang, warna tulisannye terlalu cerah.. - October 13, 2008 at 2:11 PM
- Anonymous said...
-
huhu.. maaf saudara.. sblum ni blog ana ni gelap sebenarnya.. ni baru tukar theme putih.. sbb tu terang je tulisan.. maaf ya..
- October 13, 2008 at 6:27 PM